fbpx

Madrasah tahfiz jadi tempat simpan 100 kg daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peralatan yang dirampas untuk memproses air ketum di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh dekat Kota Bharu, Kelantan semalam. FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Empat lelaki dicekup selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan memproses, menjual dan menyimpan daun ketum dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah dan madrasah tahfiz di Ketereh di sini semalam.

Serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah di Kampung But di sini oleh sepasukan pegawai bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan di rumah terbabit, polis menahan empat lelaki masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu kemudiannya menjumpai 20 bungkusan berisi 20 liter air ketum, daun ketum seberat 40 kilogram (kg) dan dua biji kuda yang disimpan di dalam kotak rokok.

“Selain itu, dua tong gas, satu periuk berisi 10 liter air rebusan ketum dan satu unit dapur gas turut dirampas.

“Hasil siasatan terhadap empat suspek itu kemudiannya telah membawa kepada serbuan di sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh kira-kira 15 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan di dalam madrasah itu kemudiannya menemui 10 bungkusan plastik hitam mengandungi 100 kg daun ketum.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai satu rekod berkait kes dadah.

“Keempat-empat suspek direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1) akta sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI