KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga premis makanan diarah tutup manakala enam lagi dikenakan kompaun selepas gagal mematuhi kehendak kesihatan berikutan keadaan kedai yang kotor dan menjijikkan di Jalan Berangan dan Jalan Angsoka, Bukit Bintang, di sini, semalam.
Antara kesalahan yang dikesan adalah perangkap minyak tidak diselenggarakan dengan sempurna, tiada suntikan typhoid dan Kursus Asas Pengendali Makanan serta lantai dapur kotor hingga berdaki hitam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, Operasi Khas Kesihatan itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL membabitkan 13 orang anggota.
Katanya, operasi pada pukul 11 pagi itu mendapati sembilan premis telah dilawati dan diperiksa mempunyai kesalahan gagal mematuhi kehendak kesihatan yang ditetapkan.
“Hasil daripada pemeriksaan, enam premis telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
“Tiga premis diambil tindakan penutupan di bawah UUK 28(1) UUKPPM (WPKL) 2016,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, DBKL memaklumkan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan seperti rak dan perkakas kotor serta berdaki hitam.
“Selain itu, tidak diselenggara bahagian belakang premis hingga terdapat limpahan air kumbahan yang mengalir ke laluan awam berbau busuk dan terdapat sampah-sarap di lorong belakang premis yang dibiarkan tanpa dibersihkan,” katanya.
Sehubungan itu, DBKL akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa kesemasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.
Tegas pihak berkuasa tempatan itu, orang awam disarankan memberi kerjasama dengan menyalurkan aduan ke @AduKL jika terdapat premis makanan yang berada pada tahap yang tidak memuaskan. – KOSMO! ONLINE.