fbpx

Joe Ee gementar saat diumumkan Olahragawati Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-SULTAN ABDULLAN bersama Tunku Azizah berkenan bergambar bersama Joe Ee yang dinobatkan pemenang Anugerah Olahragawati Kebangsaan pada majlis ASN 2022 di Subang Jaya kelmarin. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

PADA usia 18 tahun, siapa sangka atlet gimnastik berirama negara, Ng Joe Ee mampu meraih pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 kelmarin.

Joe Ee yang berjinak dalam sukan itu seawal usia empat tahun tidak menyangka mampu memeluk trofi idaman setiap atlet di negara ini, apatah lagi ia disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia turut disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui terkejut selain fikirannya kosong dan gugup sewaktu meraih pengiktirafan tertinggi sukan negara atas kejayaannya merangkul dua pingat emas dalam aparatus bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham tahun lalu

“Masih lagi rasa gementar apabila nama diumumkan. Pertama sekali saya memeluk ibu saya. Beliau pula risau bagaimana anaknya akan naik ke pentas, apa pun ia satu kejutan besar.

“Sudah tentu saya tidak menjangkakan untuk meraih gelaran ini. Sekarang saya gembira, disebabkan usaha keras tahun lalu membuahkan hasil,” katanya.

Jo Ee berkata, fikirannya menjadi kosong ketika itu kerana bukan mudah untuk mengatasi calon nama besar seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

“Ini kali pertama saya meraih anugerah pada ASN, Pandelela dan Dhabitah pula atlet hebat. Saya tidak jangkakannya dan saya rasa sekarang sudah setaraf dengan mereka,” kata Joe Ee.

Tambah Joe Ee, pengiktirafan itu memberi semangat kepadanya untuk memberi tumpuan pada Sukan Asia, sekali gus berharap dapat menyempurnkan setiap rutin dengan sempurna.

“Tidak ada yang gagal (rutin), tumpu untuk layak diri ke final terlebih dahulu, selepas itu barulah fikir mengenai pingat. Sudah tentu saya mahukan keputusan baik berbanding tahun lalu. Saya sudah mengubah rutin di bawah kendalian jurulatih Yulia Ivanova.

“Saya akan bekerja keras untuk melakukan setiap rutin de­ngan sempurna kerana saya juga mempunyai impian untuk mela­yakkan diri ke Olimpik. Dapat ke Sukan Asia pun sudah membuatkan saya gembira kerana lebih besar berbanding Komanwel.

Sebelum ke Hangzhou, Joe Ee akan mengambil bahagian di Sukan Komanwel Negara-Negara Merdeka di Minsk, Belarus dari 31 Julai hingga 8 Ogos dan Kejohanan Dunia di Valencia, Sepanyol (24 hingga 27 Ogos).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI