PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramalkan melanda empat negeri di Semenanjung sehingga pukul 3 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataannya di Facebook berkata, seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak antara yang dijangka mengalami cuaca buruk berkenaan.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak meliputi Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung dan Perak Tengah,” kata kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE