ATLET baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei bertekad menjadikan Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan sebagai pentas menebus kekecewaannya pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 baru-baru ini.
Grace, 23, sekadar membuat balingan sejauh 57.99 meter (m) untuk mengakhiri kejohanan di tempat ketujuh dalam aksi di Stadium Nasional, Bangkok, Thailand pada Khamis lalu.
Catatan itu sebenarnya masih jauh jika dibandingkan dengan rekod Sukan SEA iaitu sejauh 61.87 m yang dilakukannya di Phnom Penh, Kemboja pada Mei lalu dan juga rekod kebangsaannya, 62.48m.
Bagaimanapun, Grace mempunyai alasan kukuh dan bertekad memperbaikinya bermula pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
“Antara faktor menjejaskan prestasi saya ketika itu mungkin disebabkan cuaca kerana hujan lebat dan membuatkan saya perlu menunggu masa yang lama untuk membuat balingan.
“Saya tak berapa berpuas hati dan prestasi perlu lebih baik. Saya akan buat pada dua kejohanan selepas ini iaitu WUG (Sukan Universiti Dunia) dan Sukan Asia,” katanya.
Ini bakal menjadi pentas Sukan Asia pertama buat Grace selepas tidak beraksi sewaktu edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Jika Grace mampu memperbaiki rekod kebangsaannya, tidak mustahil pemenang tiga emas, satu perak dan satu gangsa Sukan SEA itu berpeluang bersaing merebut tempat ketiga di Sukan Asia Hangzhou nanti.
Ia berdasarkan catatan pemenang gangsa Sukan Asia 2018, 62.95m milik atlet Jepun, Hitomi Katsuyama dan rakan senegaranya, Akane Watanabe yang melakukan 62.45m untuk meraih tempat keempat.