fbpx

Umat Islam perlu perubahan minda, budaya – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin menyampaikan titah ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh, Perak hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda iaitu perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda iaitu penghijrahan budaya agar berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga.

Titah baginda, ia bermatlamat untuk menangani dan menguasai situasi semasa terutamanya revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.

“Penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan. Penghijrahan minda memerlukan minda yang berani menerokai pengetahuan baharu, kemahiran baharu, medium baharu dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman.

“Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan. Minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba, dan minda yang tidak gentar pada perubahan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di sini semalam.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang iaitu budaya lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.

Baginda turut bertitah, hijrah Rasulullah merupakan suatu peristiwa bersejarah yang telah berjaya membina orientasi masa depan Islam.

Titah baginda, ia mengandungi nilai-nilai strategik pembaharuan yang telah mengubah paradigma dan pola pemikiran ummah, membuktikan Islam memperkenalkan ajaran yang menyeluruh, menyentuh seluruh dimensi kehidupan manusia, tidak sekadar ibadat ritual, bahkan membawa visi sosial Islam dalam membangunkan peradaban manusia.

“Nabi SAW telah memperkenalkan visi dan misi Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’ yang bermaksud rahmat bagi sekalian alam dan Islam disebarkan dengan nilai dan sifat kasih sayang, secara harmoni dan bertoleransi, menyebarkan ilmu serta melakukan amal, berjaya memperteguh iman untuk menegakkan keadilan dan kebenaran berpaksikan hukum, lalu terbina tamadun Islam yang gemilang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, konsep rahmat bagi sekalian alam mencernakan budaya hidup yang harmoni bersandarkan akhlak yang murni.

Titah baginda, akhlak yang murni telah berjaya memberikan keyakinan dan turut berjaya membawa perubahan pemikiran manusia daripada syirik kepada tauhid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI