PENYANYI dangdut popular Ayu Ting Ting tidak berasa malu mengakui dirinya lahir dan dibesarkan di sebuah kampung.
Ayu, 31, menerusi Twitter berkata, dia berbangga menjadi orang kampung yang diajar nilai adab dan etika dalam berbicara.
“Ya saya memang orang kampung. Ada adab dan etika, saya tidak bercakap ikut sesuka hati. Saya sangat bangga jadi orang kampung!” ujarnya.
Ayu berkata demikian bagi membalas tanggapan segelintir pihak yang kerap menggelarkan dirinya artis kelas bawahan berasal dari kampung.
Penyanyi lagu Alamat Palsu itu sudah membuktikan dia tidak pernah patah semangat dengan hinaan itu, malah berjaya meletakkan dirinya sebaris artis papan atas seperti yang lain.
Rata-rata netizen memberi sokongan kepada penyanyi tersebut dan meminta dia tidak melayan komen-komen negatif pembencinya.