fbpx

Anak seorang sudah memadai – Fadlan Hazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usai lafaz akad dan cincin yang menjadi simbolik mas kahwin disarungkan ke jari manis Aiya, wanita berusia 29 tahun itu

SELEPAS hampir dua tahun menyulam cinta, pelakon tampan, Fadlan Hazim akhirnya sah bergelar suami kepada wanita dari Kazakhstan, Aiya Mukhamedsalova.

Dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Ahad lalu, pasangan mempelai sama cantik, sama padan hadir ke masjid dengan berbusana pengantin serba putih.

Meskipun majlis pernikahan yang diadakan dalam suasana serba ringkas dan sederhana, namun momen bersejarah itu menjadi momen penuh kesyukuran buat Fadlan dan Aiya yang kini menghalalkan perhubungan melalui ikatan suci.

Ujar Fadlan atau nama lengkapnya Fadlan Hazim Anuwar, 31, perasaan berdebar menyelubungi jiwa sewaktu diijabkabulkan oleh jurunikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Muhammad Fairudz Saderi.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali melakonkan babak akad nikah dalam drama. Tapi untuk kali ini, debarannya terasa lain sebab saya akan menjadi suami sebenar.

“Alhamdulillah, segala yang dirancang berjalan lancar, walaupun saya baru pulih demam beberapa hari lalu,” katanya.

Usai lafaz akad dan cincin yang menjadi simbolik mas kahwin disarungkan ke jari manis Aiya, wanita berusia 29 tahun itu lantas membuat panggilan video dengan keluarganya yang tidak dapat turut serta pada hari bersejarahnya.

Bercakap mengenai cahaya mata, Fadlan hanya mahukan seorang zuriat buat masa ini.

Dengan riak wajah gembira berbaur hiba, kata Fadlan, keluarga mentuanya tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Bagaimanapun, semasa majlis resepsinya yang dijadualkan pada 15 Oktober depan, keluarga Aiya dari Kazakhstan akan turun beramai-ramai meraikan hari bahagianya itu.

“Resepsi nanti pada 15 Oktober depan. Akad nikah hari ini (16 Julai 2013) cuma dihadiri keluarga belah saya sahaja.

“Kalau ikutkan resepsi nak buat bulan ini juga. Tapi keluarga mentua tidak dapat hadir.

“Jadi resepsi ditunda bulan Oktober nanti,” katanya yang belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.

Ketika disoal tentang jumlah cahaya mata yang diidamkan, pelakon dengan imej berjambang itu hanya mahukan seorang anak buat masa ini.

Bukan menolak rezeki, namun Fadlan berkata, jumlah anak perlu diambil kira memandangkan dia dan isteri akan berulang-alik antara Malaysia dan Kazakhstan.

“Kalau dikurniakan cahaya mata, seorang pun sudah memadai buat masa ini. Senang untuk kami berulang-alik antara Malaysia dan Kazakhstan.

“Hendak ke mana-mana pun senang,” katanya.

Melihat si isteri yang ‘membisu’ ketika Fadlan ditemu bual media, satu soalan diajukan kepadanya tentang sifat yang dimiliki lelaki itu, sehingga menambat hatinya.

Dalam tersipu-sipu malu, Aiya menyifatkan Fadlan sebagai lelaki terbaik yang pernah ditemuinya.

“Dia adalah lelaki terbaik yang pernah saya jumpa,” jawabnya ringkas.

Begitu juga Fadlan apabila menyifatkan isterinya itu ibarat sahabat sekepala dek keserasian dalam hubungan mereka.

Lumrah seorang wanita apabila sifat cemburu tidak boleh lari dalam diri mereka. Bergelar seorang pelakon, Fadlan tentunya terdedah dengan kehidupan glamor dan akan sering berpasangan dengan ramai pelakon wanita lain.
Namun sebagai lelaki yang kini bergelar suami, Fadlan berkata, dia harus tahu menjaga hati dan batas ketika bekerja dengan mana-mana pelakon wanita selepas ini.

“Cemburu tetap cemburu. Nama pun perempuan. Tapi dia faham kerja saya sebagai pelakon. Sebagai suami pula, saya kena jaga hati dia.

“Sejak dari dahulu, memang saya jaga batasan ketika berlakon. Tidaklah melampau. Dari dahulu memang saya mengelak daripada bersentuhan dengan pelakon wanita,” jelas Fadlan.

Selepas bertukar status bujang kepada suami orang, Fadlan tidak merancang untuk memperlahankan rentak kariernya dalam bidang lakonan dan akan terus bekerja seperti biasa.

Selaku isteri yang menumpahkan kasih dan taat setia buat suami, Aiya juga tidak keberatan untuk sentiasa ada di sisi suami, termasuk ketika menghadiri mana-mana majlis hiburan, walaupun mengakui malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI