fbpx

Agong titah rakyat jauhi sifat dengki, fitnah memfitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-sultan Abdullah berkenan bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah di WTC Kuala Lumpur. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan rakyat untuk menjauhi perasaan hasad dengki dan amalan fitnah.

Baginda bertitah, rakyat juga hendaklah tidak berfikiran sempit dan negatif kerana sifat dan amalan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada bangsa serta negara.

“Marilah kita bersama mensyukuri akan nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang telah kita kecapi. Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanah air ini.

“Beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, Seri Paduka turut bertitah semangat dan roh hijrah perlu dijelmakan bagi kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.

Titah Baginda, penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lalu merupakan semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

Lantaran itu, Baginda bertitah adalah amat bertepatan untuk bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

“Beta menghargai usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat yang menghayati nilai-nilai ihsan, mendokong prinsip keadilan dan mengamalkan semangat toleransi.

“Beta turut menghargai pelaksanaan pelan transformasi hal ehwal agama menuju Malaysia Madani sebagai langkah pro-aktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah,” titah Seri Paduka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI