BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat tonik tambahan selepas mereka dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2022 malam kelmarin.
Anugerah itu hadir tepat pada waktunya ketika mereka yang merupakan juara dunia sedang menggalas tugas negara di Yeosu, Korea Selatan bagi memburu gelaran Kejohanan Badminton Terbuka Korea.
Wooi Yik percaya gelaran sebagai Olahragawan Kebangsaan boleh dijadikan sebagai pembakar semangat dalam usaha meraih lebih banyak gelaran di peringkat antarabangsa.
“Terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan Presiden BAM (Persatuan Badminton Malaysia), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa menyokong kami dari belakang, begitu juga keluarga serta rakan-rakan.
“Kami berada di Korea ketika ini, jadi kami ambil (anugerah) sebagai motivasi untuk berusaha lebih kuat dan dapat mengharumkan nama negara,” katanya pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.
Aaron-Wooi Yik menjadi beregu lelaki ketiga negara menerima anugerah berprestij itu selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007 serta gandingan Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1997).
Bagi saingan 2022, beregu yang berada pada ranking keempat dunia itu mengenepikan cabaran dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan) serta Lim Kok Leong (snuker).
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang masih memburu gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dijadualkan berdepan wakil tuan rumah, Ki Dong Ju-Kim Jaehwan pada pusingan pertama Terbuka Korea hari ini.
Pada saingan musim ini, juara dunia itu antara pemain negara yang menampilkan aksi konsisten apabila muncul naib juara sebanyak dua kali ketika menyertai kejohanan Terbuka Indonesia dan Terbuka India.