PETALING JAYA – Kaum wanita yang menggunakan minyak wangi keterlaluan sehingga menarik perhatian lelaki adalah berdosa dan boleh menimbulkan ‘zina’ mata dan hidung sekiranya ada yang tertarik kepadanya.
Pendakwah terkenal, Ustaz Muhaizad Muhammad berkata, pemakaian wangian bagi menutup bauan badan adalah diharuskan namun tidak boleh keterlaluan sehingga menarik perhatian kaum lelaki.
“Kaum wanita kena ingat, jika pakai bauan untuk menutup bau badan kita yang busuk, itu diharuskan. Kalau orang pergi dekat dengan kita hanya dia sahaja yang dapat bau wangian tersebut.
“Tapi jika terlalu banyak sehingga menarik perhatian orang lain, itu dikira salah. Boleh menyebabkan zina, apa yang saya maksudkan adalah zina dari segi penglihatan (mata) dan hidung. Ini yang membahayakan,” jelasnya melalui satu video ceramahnya di YouTube baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, apa sahaja kaum wanita pakai atau gunakan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki selain suaminya adalah diharamkan dan berdosa.
“Sebagai contoh pakaian, kalau dia pakai dengan tidak menarik perhatian orang lain itu tidak mengapa, tidak kiralah dari segi kasut, baju dan lain-lain.
“Jika dia masuk satu kawasan seperti kedai, pakai kasut tinggi yang berbunyi sehingga menarik perhatian lelaki maka itu juga berdosa sama juga baju yang dipakai sekiranya menjadi perhatian maka ia juga berdosa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.