PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah selamat menjalani pembedahan di bahu kanan baginda akibat kecederaan lama di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2), Kuala Lumpur hari ini.
Melalui akaun Facebook rasmi baginda sebentar tadi, prosedur pembedahan berlangsung selama hampir tiga jam dan selepas selesai baginda Tuanku Sultan berada dalam keadaan sihat.
Baginda Sultan Johor turut meluangkan masa beramah-mesra bersama pasukan petugas perubatan selepas selesai menjalani pembedahan.
Difahamkan baginda Sultan akan menjalani rawatan susulan radiofrekuensi untuk beberapa hari sebelum baginda berangkat pulang ke Johor.
“Pembedahan berjalan dengan baik dan saya juga berada dalam keadaan baik.
“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pasukan petugas perubatan yang terlibat dan juga kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO). – KOSMO! ONLINE