fbpx

Sanusi enggan jawab panggilan, punca ditahan awal pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi ditahan polis ketika berada di sebuah hotel di ibu negara, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR -Keengganan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberikan kerjasama dengan pihak polis menyebabkan beliau ditahan di satu lokasi di ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beberapa cubaan menghubungi Pengarah Pilihan Raya Pas itu berakhir dengan kegagalan bagi memaklumkan keperluan beliau hadir ke Mahkamah Selayang, Gombak hari ini.

“Alasan ditangkap pada waktu malam (adalah) apabila kita meminta bantuan Polis Kedah, kita lihat beliau tidak berada di Kedah.

“Kita mendapat maklumat beliau akan berada di Astro Awani sekitar 10 malam, bagaimanapun tidak kelihatan juga kelibat beliau.

“(Sanusi) turut menolak semua panggilan telefon untuk kita memaklumkan beliau perlu hadir ke Mahkamah Selayang esoknya (hari ini), panggilan telefon Setiausaha Politik dan SUSK beliau turut ditolak,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin memaklumkan, pihaknya juga mendapati Muhammad Sanusi tidak mengetahui beliau perlu hadir ke Mahkamah Selayang hari ini.

“Berita yang keluar semalam juga menyiarkan yang beliau tidak mengetahui (akan didakwa di mahkamah) dan hari ini memaklumkan semua panggilan sudah ditolak,” katanya.

Tambah Razarudin, pertuduhan terhadap Sanusi susulan ucapan cenderung menghasut menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada mana-mana raja.

“Dalam ucapan itu, terkait DYMM Yang di-Pertuan Agong tentang Kerajaan Perpaduan dan DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Selangor atas pemilihan Menteri Besar Selangor

“Sifat kes ini berkait menghina institusi Diraja, disebabkan kita tidak dapat menelefon dan memaklumkan kita cuba mencari beliau, kita jumpa beliau pukul 2.30 pagi di Mont Kiara dan membuat tangkapan,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan dalam Lembah Klang dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Difahamkan, Muhammad Sanusi ketika itu baharu sahaja pulang dari mesyuarat Perikatan Nasional (PN).

Ketika kejadian, pada pukul 2.30 pagi itu dipercayai lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Muhammad Sanusi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI