SABAK BERNAM – Pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengikut Akta Hasutan berkemungkinan melibatkan kedudukan dan martabat raja-raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dari segi dasarnya mengelakkan penggunaan akta itu namun apa dilakukan Muhammad Sanusi itu adalah menyentuh kedudukan raja-raja.
“Soal kritik Perdaa Menteri, saya tidak pernah gunakan itu sebagai alasan tetapi ini soal kedudukan dan martabat raja-raja.
“(Ia adalah) yang harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana, perbahasan politik yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Sentuhan Agro Madani peringkat negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikan bagi mengulas berhubung dua pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini.
Anwar sebelum ini antara individu tidak setuju penggunaan Akta Hasutan secara berterusan serta hukuman berat dikenakan berdasarkan akta itu tidak melambangkan reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Anwar, beliau tidak mahu menganggu proses mahkamah dan meminta orang ramai menghormati proses tersebut.
“Polis buat siasatan, peguam negara pun buat pendakwaan, jadi saya tidak mahu ganggu proses dan saya minta akan teliti pendakwaan. Yang pertama berkenaan dengan laporan dan kemudian apa alasan peguam negara yang melihat kepada pendakwaan selepas siasatan polis. Jadi, kena hormat proses mahkamah,” katanya.
Mengulas mengenai penahanan Muhammad Sanusi kira-kira pukul 3 pagi di salah satu lokasi di ibu negara, Anwar menjelaskan adalah perlu mengetahui apa proses dilakukan pihak berkuasa.
“Yang saya dapat maklumat polis pantau, dia cari dan dia dapat, kemudian dia tangkap,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang ini atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah di sini minggu lalu.
Muhammad Sanusi, 48, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh. – KOSMO! ONLINE