SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menasihatkan rakyat agar tidak panik dengan dakwaan akan berlaku kenaikan harga barang sehingga 20 peratus bermula bulan depan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, dakwaan atau kenyataan itu dibuat oleh pemain industri, bukan oleh kerajaan.
“Jadi, kita kena sedar bahawa (pemain) industri ini memanglah tujuan mereka untuk mendapatkan keuntungan. Jadi, sebab itu saya nak nasihatkan kepada rakyat bahawa janganlah panik dengan ‘announcement’ (pengumuman) daripada industri kerana siapa yang merupakan pemegang taruh yang penting dalam menentukan harga.
“(Untuk pengetahuan) ‘supply and demand’ (bekalan dan permintaan) dalam pasaram seperti Malaysia ini antaranya ialah (ditentukan oleh) pengguna. Industri memang ada peranan, tetapi pengguna itu lebih besar peranannya.
“Jadi bertenang. Kerajaan akan buat apa yang patut lakukan untuk memastikan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011) dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Jualan Rahmah Bergerak sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 di pekarangan Masjid Al-Hidayah Kuala Muda, Penaga, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN menyasarkan 6,400 Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara hingga hujung tahun ini dan rakan strategiknya kini beralih kepada pemborong, peruncit dan sebagainya dengan konsep ‘kedai cari rakyat’. – KOSMO! ONLINE