PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Ia diadakan secara serentak bersama Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang berlangsung pada hari sama.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang akhbar khas di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK berkenaan.
“Hari mengundi bagi PRK Kuala Terengganu ditetapkan pada 12 Ogos 2023, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos,” katanya.
Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan mesyuarat khas PRK Kuala Terengganu bermula pada pukul 10 pagi selain turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.
Ahli-ahli SPR yang turut menghadiri mesyuarat terdiri daripada Datuk Dr. Lee Bee Phang, Zoey Randhawa, Dr. Mohd Faisal Syam Abdol Hazis dan Datuk Nik Ali Mat Yunus.
Khamis lalu, Ikmalrudin memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November lalu. – KOSMO! ONLINE