BIAR sembilan tahun berlalu, filem biografi yang adaptasi kisah benar peninju wanita India, Mary Kom masih berbekas dalam minda Priyanka Chopra selaku bintang utama.
Demi Mary Kom, bekas ratu cantik itu berpenampilan botak bagi menjayakan satu babak penting yang dikatakan menjadi sebutan penonton.
Begitupun katanya, itu tidak bermakna dia perlu mencukur keseluruhan rambut kerana imej tersebut hanya untuk satu babak dalam filem.
Mary Kom adalah sebuah karya biografi diterbitkan tahun 2014 mengisahkan kehidupan peninju wanita terkenal asal India bernama Mary Kom yang meraih pingat Olimpik.
Filem berkenaan mengisahkan perjalanan hidup Mary Kom sejak kecil di Manipur, India, hingga menjadi salah seorang peninju wanita terbaik dalam sejarah.
Demi watak terbabit, isteri Nick Jonas itu juga menjalani latihan selama enam bulan selain menghabiskan masa bersama Kom dan keluarganya.