SEREMBAN – Seorang penjual didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu urusan jual beli baju kurung secara dalam talian terhadap tiga mangsa wanita pada Februari 2022 hingga 27 Mac 2023.
Tertuduh, Mohd. Sopri Togil, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Nurul Sakinah Rusli dan Yusna Khadijah Md Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdaya tiga wanita berusia antara 39 hingga 48 tahun dengan mendorong mereka membuat pindahan wang keseluruhan berjumlah RM659 ke dalam akaun bank milik tertuduh bertujuan sebagai pembayaran pembelian baju kurung.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dibenarkan jamin sebanyak RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 17 dan 21 Ogos depan.- KOSMO! ONLINE