BANDAR RAYA MEXICO, Mexico – Seorang lelaki Australia yang hilang di lautan selama dua bulan, ditemui selamat selepas melakukan ikhtiar hidup dengan minum air hujan dan makan ikan mentah.
Akhbar Daily Star melaporkan, Tim Shaddock dan anjing peliharaannya, Bella, belayar dari Mexico awal April lalu untuk mengembara ke gugusan pulau Polinesia Perancis di Lautan Pasifik Selatan sebelum bot katamarannya dipukul ribut.
Lelaki itu dan anjingnya memulakan pelayaran dari bandar tepi pantai, La Paz dan merancang belayar sejauh 6,000 kilometer sebelum berlabuh di Polinesia Perancis.
Ribut itu menyebabkan peralatan elektronik bot tersebut rosak dan gagal berfungsi.
Insiden berlaku beberapa minggu selepas Shaddock dan Bella memulakan pelayaran di Lautan Pasifik Selatan.
“Saya melalui tempoh sukar di lautan. Saya hanya mahu berehat dan makan makanan lazat kerana saya sudah lama bersendirian di tengah laut.
“Selain kepayahan tersebut, saya berada dalam keadaan sihat. Saya diberi ubat yang bagus dan dijaga dengan amat baik,” katanya kepada stesen penyiaran 9News selepas diselamatkan.
Minggu lalu, Shaddock berjaya diselamatkan selepas helikopter yang mengiringi sebuah kapal pukat tuna mengesan bot hanyut miliknya.
Ketika diselamatkan, Bella dirakam menggerakkan ekornya ke arah jurukamera yang tiba sebagai sebahagian daripada misi menyelamat itu.
Dalam masa sama, wajah Shaddock dilihat berbeza dengan jambang putih memenuhi wajahnya.
Media Australia menyamakan kisah Shaddock dengan filem Hollywood popular lakonan aktor Tom Hanks, Cast Away. Filem itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang terdampar di sebuah pulau terpencil selepas bot dinaikinya rosak dipukul ribut.
Sementara itu, pegawai perubatan yang memeriksa Shaddock berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius atau kecederaan.
Shaddock berjaya mengelak daripada terkena pancaran terik matahari dengan berlindung di bawah khemah bot tersebut.
Seorang doktor pakar memberitahu bahawa Shaddock akan kembali pulih selepas kerap makan makanan dalam kuantiti kecil. Dia juga akan menjalani rawatan lanjut di Mexico selepas tiba di daratan.
“Saya tidak sabar untuk bertemu anak saya. Lokasi pertama yang dia akan pergi sudah pasti kedai gunting rambut,” kata ibu Shaddock kepada akhbar Daily Telegraph Australia. – Agensi