LUMUT – Seorang lelaki yang bekerja sebagai ‘bouncer’ atau kaki pukul di sebuah bar di pekan Lumut, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya minggu lalu.
Gabriel Subramaniam, 28, dituduh menyebabkan kematian E. Komati, 33, di Ladang Walbrook, Sitiawan antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam pada 10 Julai lalu.
Tertuduh memahami pertuduhan itu ketika ia dibacakan di hadapan Majistret T Kavita.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh manakala tiada jaminan ditawarkan kepadanya.
Majistret T. Kavita menetapkan 18 September depan untuk kes itu disebut semula untuk mendapatkan laporan pakar berkaitan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine menerusi ujian air kencing yang dijalankan di Balai Polis Pantai Remis pada pukul 6.40 petang 12 Julai lalu.
Gabriel dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Izalina Rajaai, menetapkan kes itu disebut semula pada 25 Oktober depan di Mahkamah Majistret Pantai Remis untuk mendapatkan laporan patologi. – KOSMO! ONLINE