PENYERANG utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun menyifatkan kejayaannya menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan setakat ini dibantu oleh rakan-rakan sepasukan yang beraksi menerusi kecemerlangan ‘sistem’ permainan.
Pemenang Kasut Emas Liga Super 2020 dan 2021 itu berkata, ‘sistem’ itu diyakini mampu berkembang apabila keserasian antara dirinya dan Moses Atede yang baru berhijrah ke skuad Kenari berkembang bersama rakan-rakan sepasukan lain yang sudah lama dalam pasukan itu.
“Perkara ini melibatkan keserasian. Kadang-kadang anda hanya perlu berlatih untuk mendapatkannya tetapi ada masanya, ia mungkin memerlukan beberapa perlawanan atau musim bagi membentuk keserasian yang benar-benar mantap.
“Situasi terbaik yang boleh berlaku adalah anda boleh menjangkakan ke mana rakan-rakan sepasukan berlari walau dalam keadaan menutup mata atau sebaliknya.
“Kami belum sampai ke tahap itu tetapi berdasarkan dua perlawanan dilalui bersama, saya fikir kami sedang sama-sama membina sistem tersebut dan situasinya bertambah baik,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Katanya, kejayaan menjaringkan dua gol dalam aksi pertamanya di laman sendiri ketika Sang Kenari menundukkan Kelantan United 3-1 Jumaat lalu adalah sesuatu yang menggembirakan.
“Sudah tentu itu bukan jaringan pertama saya di Stadium Darul Aman kerana saya pernah melakukannya bersama pasukan lain tetapi kali pertama saya menjaringkan gol dengan memakai jersi hijau kuning dan perasaannya sangat hebat,” ujarnya.
Ifedayo berkata, dia tidak rasa tertekan untuk mengambil alih tempat ditinggalkan penyerang import Kedah iaitu Willian Lira yang mencatatkan kadar jaringan agak baik iaitu lapan gol dalam 14 perlawanan.
“Semua ini berkait rapat dengan kekuatan mental dan ini bukan kali pertama saya berdepan situasi begini. Ketika saya mula menjejakkan kaki ke Selangor, Rufino Segovia merupakan penjaring terbanyak dan saya kemudiannya mencatatkan kejayaan bersama pasukan itu.
“Sejak kecil, banyak yang perlu saya buktikan termasuk ketika bermain di jalanan di Nigeria. Bermain dengan sebuah pasukan yang memiliki tradisi besar seperti Kedah tidak mudah kerana anda tidak akan dipandang jika sekadar bermain secara ‘biasa-biasa’ dan saya mahu berusaha memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan,” katanya.