fbpx

Nenek 69 tahun minat gaya jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasniah, nenek berusia 69 tahun mula meminati gaya jalanan selepas diperkenalkan oleh cucu-cucunya.

FESYEN gaya jalanan atau street style yang meliputi pakaian seperti jaket varsity, kemeja T oversized dan seluar berpotongan longgar cukup sinonim sebagai gaya pilihan anak muda.

Begitupun, pesona gaya jalanan yang dipertaruhkan oleh sebuah jenama tempatan ternyata berjaya memikat hati seorang nenek dari Kajang, Selangor apabila dia bersama beberapa orang cucu sanggup beratur panjang bagi mendapatkan koleksi baju gaya jalanan yang dipertaruhkan jenama tersebut.

Hasniah Othman, 69, yang merupakan seorang pengasuh mula meminati gaya jalanan selepas diperkenalkan dengan stail tersebut oleh cucu-cucunya.

Malah, dia juga sanggup beratur lima hari awal di butik Supersunday yang terletak di stesen monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi menjadi antara individu terawal yang memiliki koleksi pakaian jalanan kolaborasi antara dua jenama tempatan iaitu SVG Worldwide dan Supersunday.

“Saya mula diperkenalkan dengan jenama tempatan yang mempertaruhkan gaya jalanan daripada cucu-cucu saya.

“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan jenama SVG Worldwide ini adalah bukan sahaja rekaannya yang menarik dan ranggi, koleksi ini turut menampilkan pakaian dengan fabrik yang berkualiti tinggi,” katanya.

Kongsi Hasniah lagi, biarpun sudah berusia hampir 70 tahun, ia tidak langsung menjadi penghalang buatnya untuk meminati pakaian anak muda.

Malah, dia juga teruja apabila dapat beratur bersama-sama generasi muda itu atas faktor berkongsi minat yang sama iaitu label pakaian jalanan tempatan.

Orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan koleksi terbaharu pakaian jalanan di butik yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu.

“Saya menganggap ini sebagai satu pengalaman yang menarik.

“Semasa beratur panjang bersama generasi muda ini, saya mengambil peluang itu untuk berinteraksi bersama mereka dan bertukar-tukar cerita.

“Tidak sangka, kami boleh berkenal-kenalan hanya kerana meminati jenama SVG Worldwide,” kongsinya.

SVG Worldwide merupakan sebuah jenama tempatan yang diasaskan oleh seorang anak muda, Muhammad Ashraf Khairul Anuar.

Jenama yang diasaskan pada 2017 itu kini merupakan antara jenama fesyen gaya jalanan tempatan paling popular di negara ini.

Muhammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar memulakan kerjaya sebagai seorang personal shopper yang akan mengunjungi banyak kedai barangan terpakai bagi mendapatkan pakaian fesyen yang unik.

Bertitik tolak daripada situ, Ashraf Anuar mula memasang impian untuk mewujudkan jenama pakaiannya sendiri dan menubuhkan SVG Worldwide enam tahun lalu.

SVG Worldwide sebelum ini pernah berkolaborasi bersama jenama Supersunday pada 2022 dan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penggemar gaya jalanan menjadikan kedua-dua label itu kembali bekerjasama buat kali kedua dengan melancarkan koleksi pakaian edisi terhad.

Antara produk yang dilancarkan pada 8 Julai lalu itu termasuk kemeja T, jaket varsity dan juga jersi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI