fbpx

Mahkamah: Peguam mohon timbalan pendakwa raya tarik diri kes Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDDIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng memohon seorang timbalan pendakwa raya (TPR) menarik diri daripada menganggotai pasukan pendakwaan kerana pegawai berkenaan berpotensi dipanggil sebagai saksi dalam kes berkenaan.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, TPR Nik Haslinie Hashim turut mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mana wang yang menjadi asas kepada pertuduhan, diserahkan kepada ahli perniagaan itu.

Nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek, diserahkan kepada Gnanaraja.

Sebaliknya, dalam kes Guan Eng di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141, namun wang RM2 juta itu diserahkan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Gobind mempertikai penglibatan Nik Haslinie dalam pasukan pendakwaan kerana beliau berpotensi untuk dipanggil sebagai saksi bagi menjelaskan percanggahan fakta dalam kedua-dua kes, walhal ia melibatkan wang yang sama.

“Nik Haslinie merupakan saksi yang material bagi menjelaskan siapa yang memberi arahan supaya menyembunyikan keterangan (berhubung wang yang menjadi subjek dalam pertuduhan) kerana kami percaya wujud penyembunyian maklumat di peringkat tertinggi dalam kes Guan Eng.

“Beliau merupakan TPR yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes di Shah Alam dan turut terlibat dalam kes Guan Eng dan mendengar saksi-saksi memberi keterangan. Beliau perlu menarik diri,” hujah Gobind.

Sementara itu, TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Guan Eng berhujah, pertikaian terhadap Nik Haslinie tidak sesuai dibangkitkan pada peringkat itu kerana saksi-saksi belum selesai memberi keterangan.

“Isu berhubung Nik Haslinie adalah pramatang dan tiada asas untuk mengecualikan beliau pada peringkat ini. Jika peguam bercadang memanggil beliau sebagai saksi pembelaan kelak, saya tiada bantahan,” hujah beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi TPR, Ahmad Akram Gharib turut berhujah, tidak adil untuk membangkitkan isu penyembunyian dan memalsukan keterangan pada peringkat ini kerana kes pendakwaan masih belum selesai dan saksi-saksi lain akan dipanggil memberi keterangan termasuk Gnanaraja.

“Tidak adil untuk menimbulkan isu penyembunyian keterangan melainkan pihak pembelaan mempunyai asas yang kukuh. Kami hanya menjalankan tugas dan kes ini melibatkan kepentingan umum dan menjadi perhatian pelbagai pihak.

“Jangan membuat tohmahan (isu penyembunyian maklumat) kerana pendakwaan perlu menjawab kepada pihak atasan. Mohon tuduhan itu ditarik balik,” hujah Ahmad Akram.

Pada peringkat itu, Hakim Azura Alwi menyatakan, tiada apa-apa permohonan bertulis dikemukakan yang menghalang Nik Haslinie menganggotai pasukan pendakwaan manakala isu penyembunyian keterangan boleh dihujahkan kelak.

Pertikaian mengenai penglibatan Nik Haslinie dibangkitkan oleh pasukan pembelaan sebelum mahkamah mendengar keterangan bekas Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Datuk Akmar Omar, 63, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-35.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Wang itu sebagai tindakan membantu syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah CZBUCG). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI