fbpx

Jangan bergantung dengan dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

RINGGIT pernah cecah nilai tertinggi dibanding dengan satu dolar Amerika Syarikat (AS) pada September 1980. Menurut akhbar The Straits Times Singapura, AS$1 adalah bersamaan RM2.12.

Ketika itu, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, Timbalannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pula Menteri Kewangan.

Kadar kemiskinan ialah 30.4 peratus. Ketika itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedang dilaksanakan. Gaji penjawat awam rendah dan pelbagai subsidi termasuk minyak diberikan dan Malaysia dikenali negara pertanian.

Namun, ringgit jatuh sedikit demi sedikit sehingga RM4.88 bagi AS$1 pada 1 September 1998. Sebelum nilainya jatuh, ekonomi Malaysia berkembang 8 peratus pada 1987 hingga 1997 yang di­terajui oleh eksport perkila­ngan.

Menurut penyelidik University of Sydney, John H. Drabble, terma ‘keajaiban ekonomi’ diberikan bagi menggambarkan pencapaian ekonomi itu.

Ahli perniagaan AS berketurunan Hungary, George Soros yang mempunyai syarikat lin­dung nilai dituduh menjadi spekulator mata wang yang menyebabkan nilai ringgit jatuh, namun Soros menafikannya.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, ada beberapa faktor yang menyebabkan ia berlaku antaranya negara yang diserang mengalami kekurangan penguatkuasaan peraturan berhemat dan penyeliaan sistem kewangan tidak mencukupi. Bagaimanapun Dr. Mahathir kemudian melaksanakan tambatan ringgit RM3.80 bagi setiap AS$1.

Menurut akhbar Straits Times IMF yang menggelar tambatan ringgit sebagai ‘langkah mundur’ mengaku ia membawa kestabilan, namun kawalan modal itu dihapuskan pada 21 Julai 2005.

Nilai ringgit kembali melonjak sehingga kepada RM2.96 pada 8 Mei 2013 lepas pilihan raya dan kemudian turun kepada RM4.60 pada 26 Mei lalu seterusnya RM4.68 pada 30 Jun lalu.

Menurut Bank Negara pada 29 Mac lalu, ringgit berterusan turun berikutan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah secara agresif. Portal berita CNBC melaporkan kadar faedah itu stabil pada 5 peratus hingga 5.25 peratus bulan lalu.

Pada 12 Julai lalu, nilai satu pound sterling United Kingdom (UK) naik dan mencecah RM6.02. Ia berlaku selepas eksport negara berkembang 9.8 peratus kepada RM112.28 bilion sehingga Februari kalu.

Ramai penganalisis memberikan pelbagai pandangan tentang sebab kejatuhannya berbanding dolar AS ketika itu antaranya dakwaan berlakunya spekulator mata wang dan fundamental ekonomi Malaysia lemah.

Menurut pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, Malaysia perlu menggelakkan daripada bergantung dengan dolar AS.

Kebergantungan kepada mata wang itu menyebabkan Malaysia melakukan tambatan ringgit pada kadar RM3.80 bagi setiap AS$1 pada 1998.

Ekoran itu, Malaysia boleh menggunakan ringgit atau mata wang lain ketika berdagang dengan negara-negara lain.

Menurutnya, minggu lalu, dolar AS lemah membolehkan nilai ringgit terus meningkat, tetapi pound naik disebabkan perkembangan ekonomi di negara-negara itu.

Seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Dr. Tamat Sarmidi dari Universiti Kebangsaan Malaysia senada dengannya.

“Penggunaan ringgit sebagai medium perdagangan antarabangsa dialu-alukan. Namun, keupayaan dan penerimaan sebagai mata wang perdaga­ngan antarabangsa memerlukan sokongan semua pihak yang terlibat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI