fbpx

Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar HBP beri manfaat penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (dua dari kanan) ketika hadir merasmikan Jabatan Kecemasan Hospital Balik Pulau, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

BALIK PULAU – Bangunan baharu Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar di Hospital Balik Pulau (HBP) di sini yang beroperasi Mac lalu dapat membantu dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan terutamanya melibatkan kes-kes kecemasan dan trauma di daerah ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar itu sudah tentu memberikan kesan positif kepada penduduk di Balik Pulau di mana mereka tidak perlu lagi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) yang agak jauh dari kawasan mereka.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang umumnya dan Hospital Balik Pulau khususnya kerana telah menerima sebuah blok hospital yang baharu untuk menjalankan tugasan harian.

“Dalam masa yang sama, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau adalah setanding dengan apa yang ditawarkan di Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika berucap merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau (HSB), di sini hari ini.

Menurut Zaliha, Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih di sini juga sedang berada dalam fasa akhir penyiapan dan dijangka akan siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

“Dengan beroperasinya klinik kesihatan baharu ini kelak, yang jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari Hospital Balik Pulau, ia juga akan dapat mengurangkan beban tugas di Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar.

“Kes-kes kecemasan yang lebih ringan dapat dikendalikan oleh klinik kesihatan ini terutamanya yang melibatkan rawatan di peringkat zon hijau,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meningkatkan usaha untuk mereformasi sistem kesihatan negara untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang telah diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.

“KKM juga akan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mengutamakan penyampaian penjagaan kesihatan primer. Seperti mana ramai sedia maklum, KKM telah menempa sejarah apabila telah berjaya membentangkan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen.

“Ia menggariskan empat tonggak serta 15 strategi reformasi kesihatan untuk tempoh 15 tahun akan datang bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat serta sejahtera,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI