BENTONG – Seorang ibu melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila anaknya yang berumur dua tahun meninggal dunia selepas didakwa tidak mendapat rawatan sewajarnya akibat kecuaian seorang doktor sebuah klinik kesihatan di sini.
Berdasarkan hantaran daripada Facebook Erma Iswani dia begitu kesal apabila anaknya Muhammad Umair Muhammad Ridhwan, 2, tidak mendapat rawatan yang sewajarnya sehingga menghembuskan nafas terakhir hanya dalam tempoh satu hari.
Katanya, adalah tidak wajarnya apabila anaknya yang telah sehari mengalami cirit-birit sebanyak 21 kali hanya diberikan tiga bungkus air garam ketika dia ke klinik kesihatan berkenaan pada 12 Julai lalu.
“Saya turut bertanya adakah anak saya kena keracunan makanan dan beliau (doktor) berkata “ya” “mungkin”, pada ketika itu saya rasa agak risau kerana mata (anak) sudah mula kelihatan tenggelam dan saya sedikit kecewa kerana saya mengharapkan ‘refer’ ke hospital atau pun darah diambil tetapi tiada.
“Sebaik keluar daripada klinik apabila di dalam kereta saya melihat kaki anak kemerahan berbintik dan mata pun cengkung ke dalam dan saya rasa tidak berpuas hati, tanpa berlengah saya terus pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dari doktor lain,”katanya.
Dia memberitahu selepas diperiksa dan ujian darah diambil doktor klinik swasta berkenaan telah memberi surat rujuk ke hospital memandangkan bacaan darah putih terlalu tinggi dan anaknya sudah tidak aktif.
Jelasnya apabila dibawa ke Hospital Bentong anaknya yang sudah ‘lembik’ dan tidak sedarkan diri telah ditidurkan sebelum di hantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.34 pagi semalam.
“Kesilapan terbesar saya adalah saya pergi ke tempat yang salah setelah memikirkan klinik kesihatan yang paling hampir serta berharap darah diambil serta mendapatkan surat rujukan cepat, jika ‘admit’ diperlukan dan ini saya sangat kesalkan sehingga sekarang.
“Saya ini bodoh sebab itu saya perlukan orang yang pandai macam doktor untuk bantu rawat anak saya, saya hilang senyuman anak saya hanya dalam masa satu hari je,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalam kes ini dan akan mengambil tindakan lanjut.
Katanya, pada masa ini punca kematian masih dalam siasatan dan berdasarkan siasatan awal kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) dengan penyakit lewat perkembangan global (GDD) berusia dua tahun enam bulan itu mula mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan pada 12 Julai lalu selepas mengalami cirit-birit. – KOSMO! ONLINE