fbpx

Cederakan isteri: Hafidz Roshdi bakal kemuka representasi, kaji pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHKAMAH Masjistret Kuala Kubu Bahru menetapkan tarikh 4 Oktober nanti untuk sebutan semula kes terhadap Hafidz Roshdi atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Nurul Shuhada.

KUALA KUBU BAHRU – Pihak pembelaan mewakili pelakon Hafidz Roshdi akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya bagi tuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, pada 13 Mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz pada sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru, di sini, hari ini.

Akberdin ketika ditemui Kosmo! berkata, pihaknya telah menerima dokumen daripada pihak Pendakwa Raya berkaitan kes membabitkan anak guamnya hari ini.

“Selepas menerima dokumen (kes) hari ini, pihak kami akan meneliti segala fakta kes dan akan mengemukakan representasi bagi memohon pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan terhadap Hafidz.

“Ini termasuk arahan terhadap anak guam saya terhadap kenyataan yang terdapat dalam dokumen untuk membuat semakan semula bagi mendapat satu rumusan yang adil sebelum dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 4 Oktober nanti untuk sebutan semula kes dan status representasi yang akan dikemukakan.

Sementara itu, Hafidz atau nama lengkapnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, berkata, dia berpuas hati dengan perjalanan proses mahkamah setakat ini dan mahu kembali memberi fokus terhadap kerjaya lakonan selain tumpuan terhadap kesihatannya.

“Alhamdulillah saya mahu beri fokus kepada kerjaya dan kesihatan saya. Itu sahaja. Untuk kes ini saya serahkan kepada peguam saya. Setakat ini saya berpuas hati,” ujarnya.

Terdahulu Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan pada 9 mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri pada sebutan semula dan laporan psikiatri hari ini di hadapan Hakim Hakim Mohd. Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu sebelumnya telah ke Hospital Bahagia pada 29 Mac untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI