MUAR – Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara selama 218 tahun dan 75 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan satu amang seksual terhadap anak kandungnya sehingga bersalin, sejak tahun 2020.
Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman tersebut kepada tertuduh yang berusia 41 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan terbabit.
Abu Bakar sebelum membuat keputusan itu menegur perbuatan tertuduh yang hanya bekerja sebagai buruh kampung.
“Kamu tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah. Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,”katanya.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya ketika mangsa berusia 12 tahun pada waktu malam pada 2020.
Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada 8 pagi, 5 Jun lalu.
Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya memberitahu, tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian terbongkar selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.
Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.
Tertuduh kali pertama dituduh pada 14 Jun lalu mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.
Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.
Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE