ALOR SETAR – UMNO Kedah menafikan isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik, dekat sini menjadi modal politik parti untuk menyerang kerajaan negeri yang diterajui Pas.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kepincangan dalam isu REE tersebut perlu dijelaskan dengan terperinci terutama setelah pendedahan terbaharu dibuat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Ini bukan soal membantu Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH), ini soal benda berkaitan dengan perkara yang haram atau mengikut undang-undang perlombongan itu.
“Kalau dia (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) kata dia tak buat, sekarang keluarlah kenyataan. Keluarlah satu kenyataan bahawa telah lulus. Lulus di mana? Siapa yang luluskan? Kemudian, macam mana pengoperasian itu, itu sahaja,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin bahawa Menteri Besar itu didenda RM500,000 berkaitan kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik tahun lepas.
Tambahnya, sebagai individu yang pernah memegang jawatan menteri besar sebelum ini, semua aktiviti perlombongan di negeri ini tertakluk kepada prosedur operasi standard tertentu yang perlu dipatuhi. – KOSMO! ONLINE