SERAMAI 35 orang anak yatim dan asnaf daripada Rumah Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara, Selangor telah diraikan dalam program ‘Satu Langkah Sejuta Manfaat’.
Program santai yang dianjurkan oleh pelajar Institute of Continuing Education and Professional Studies (iCEPS) daripada kursus Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu berlangsung dengan jayanya pada 8 Julai lalu.
Menurut penasihat dan pengarah projek, Shira Haniza Yaakop, program amal tersebut bertujuan menyantuni mereka yang memerlukan seperti asnaf dan anak yatim agar tidak terpinggir.
Katanya, iCEPS sememangnya sentiasa menyokong dan mengutamakan aktiviti serta usaha berkaitan sumbangan kepada masyarakat.
“Hal ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang ‘versatile’. Graduan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi dari segi sahsiahnya.
“Penglibatan pelajar dalam kerja-kerja bersama komuniti seumpama ini secara tidak langsung membentuk keperibadian yang baik dan mampu menjadi contoh teladan,” katanya.
Shira Haniza menambah, pelbagai aktiviti menarik turut disusun atur pada program tersebut, antaranya sesi pengisian bersama St. John Ambulance Malaysia, senaman ringan dan eksperimen sains.
“Istimewanya, program ini dilaksanakan bersempena sambutan iCEPS ke-50 tahun atau Jubli Emas.
“Pada program sama, kami mendapat tajaan berupa barangan keperluan daripada syarikat terlibat untuk diagihkan kepada anak-anak istimewa ini.
“Antara barangan yang diagihkan termasuklah beg sekolah, set kelengkapan alat tulis dan keperluan asas lain,” ujarnya.
Tambah Shira Haniza, menerusi program itu, dia berharap lebih ramai mahasiswa yang prihatin dan peka terhadap keperluan golongan memerlukan dapat dilahirkan.
Sementara itu, ketua program berkenaan, Nurul Nabilah Awang berkata, menerusi usaha dan inisiatif murni itu, mahasiswa dapat memberikan impak positif serta membawa perubahan lebih baik kepada komuniti setempat.
“Saya gembira menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, sekali gus dapat menyumbang jasa dan membawa perubahan kepada kehidupan orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus Rumah Telaga Kasih Nur Muhammad, Ainatul Mardhiah Hafiz berkata, dia cukup berbesar hati dengan program tersebut.
Dia berkata, pihaknya sentiasa mengalukan-alukan sebarang usaha bagi menambah ilmu serta memberi keceriaan kepada anak-anak kurang bernasib baik di situ.
Untuk rekod, iCEPS telah memberi peluang kepada golongan bekerja belajar secara separuh masa sejak lima dekad lalu.
Lebih membanggakan, seramai lebih 55,000 pelajar iCEPS telah berjaya menamatkan pengajian.