fbpx

Sekolah digalak cipta acuan sendiri, libat pelbagai platform – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (berdiri di tengah) ketika hadir pada Majlis Meraikan Kejayaan SK Seri Permai di Bayan Baru, hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan semua sekolah di negara ini melibatkan diri dalam pelbagai ruang dan platform serta mengambil peluang mencipta inovasi tersendiri yang bertaraf dunia.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mahu terus melihat kejayaan-kejayaan tersebut setelah dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di sini dan SK Kanchong Darat di Banting, Selangor tersenarai dalam kedudukan 10 teratas anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

Menurutnya, peluang seumpama itu seharusnya diambil oleh sekolah-sekolah lain sekali gus berjaya menempa kejayaan dalam konteks sendiri.

“Apa yang membezakan kita apabila melihat SK Seri Permai dan SK Kanchong Darat ini boleh berjaya dengan acuan sendiri.

“Sebab itu saya fikir inovasi-inovasi ini dan pertandingan-pertandingan yang diberi ruang dan platform mesti sentiasa diambil peluang oleh semua sekolah-sekolah untuk menunjukkan bahawa mereka juga boleh berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Kejayaan SK Seri Permai, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada SK SERI Permai sebagai galakan inspirasi sekolah berkenaan.

Pada 15 Jun lalu, SK Seri Permai diumum antara 10 Sekolah Terbaik Dunia dalam Pertandingan World Best School Prizes (WBSP) bagi Kategori Inovasi iaitu menerusi Smart n Easy Table 2.0 (SnET).

Pengumuman itu dibuat secara dalam talian oleh organisasi pendidikan global, T for Education yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

SnET 2.0 merupakan inovasi meja dan ruang simpanan buku hasil idea guru besar sekolah berkenaan, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail, sebagai usaha membantu mengatasi isu masalah beg sekolah berat di sekolah itu.

“Jadi, isu yang telahpun diangkat dalam inovasi ini adalah yang sebenarnya sering menjadi bualan dalam musim-musim tertentu. Ia bukan setiap musim, ada musim-musim dia sahaja tentang beg berat ini.

“Sebab itu saya fikir keadaan ini penting dan apabila inovasi ini wujud berikan kita peluang untuk melihat dengan lebih jauh.

“Saya memberi jaminan KPM akan teruskan menyokong dan mendukung dalam konteks memastikan perkara-perkara yang baik ini terus diangkat,” tambahnya. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI