SHAH ALAM- Anak negeri Sabah yang bermastautin di sekitar Lembah Klang dapat melepas rindu bertemu rakan dan sanak saudara yang hadir pada Program Santai Kaamatan Negeri Selangor yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.
Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran tetamu utama seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang telah merasmikan program julung-julung kali itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada artis negeri di bawah bayu tersebut seperti Francis Landong, Ampal dan George Lian.
Pengerusi Penganjur yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada majlis kali ini memperlihatkan program tersebut amat dinantikan oleh rakyat Sabah sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum yang kukuh.
Menurut beliau, perayaan Kaamatan di perantauan pasti menjanjikan pengalaman yang baharu bagi anak Borneo yang tidak dapat pulang ke kampung halaman,
“Apa yang pasti program Santai Kaamatan ini dapat memupuk semangat kekitaan dan perpaduan khususnya apabila berada di perantauan.
“Sedikit sebanyak program ini dapat mengubat kerinduan dan keinginan meraikan Kaamatan bersama keluarga di kampung halaman,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Wetrom Bahada.
Pesta Kaamatan yang dikenali sebagai Tadau Kaamatan diraikan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) untuk menghormati ‘Bambarayon’ iaitu semangat padi. -KOSMO!ONLINE