SEOUL – Presiden Yoon Suk Yeol hari ini berikrar untuk ‘membaik pulih sepenuhnya’ pendekatan Korea Selatan terhadap cuaca ekstrem akibat perubahan iklim, selepas sekurang-kurangnya 40 orang terkorban dalam bencana banjir dan tanah runtuh semasa hujan monsun baru-baru ini.
Anggota-anggota penyelamat mengharungi lumpur tebal ketika mereka cuba mengepam air keluar dari sebuah terowong di pusat bandar Cheongju. Mereka mencari lebih ramai mangsa selepas sebilangan kenderaan terperangkap di dalam terowong itu semasa banjir kilat.
Kementerian dalam negeri menyatakan, seramai sembilan orang masih hilang di seluruh negara.
Korea Selatan kini mengalami kemuncak monsun musim panas, manakala hujan selama beberapa hari menyebabkan banjir dan tanah runtuh dengan sebilangan sungai serta takungan air melimpah. Lebih banyak hujan diramal turun dalam masa beberapa hari akan datang.
“Cuaca ekstrem seperti ini akan menjadi biasa. Kita perlu menerima bahawa perubahan iklim sedang berlaku dan menanganinya,” kata Suk Yeol dalam satu mesyuarat tergempar hari ini.
“Musim hujan belum berakhir dan ramalan cuaca menyatakan bahawa hujan lebat akan berlaku lagi esok,” tambahnya.
Suk Yeol turut melawat Yecheon di wilayah Gyeongsang Utara iaitu antara kampung yang paling teruk terjejas akibat banjir dan tanah runtuh. Lebih satu pertiga rumah di kampung itu rosak akibat tanah runtuh, manakala dua orang masih hilang. – AFP