IPOH – Tourism Perak menyasarkan kemasukan kira-kira 150,000 orang pelancong dari Thailand ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurmalis Musa berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, pihaknya kini giat menjalankan libat urus dengan wakil-wakil agensi pelancongan dari negara tersebut bagi mempromosikan destinasi-destinasi menarik di Perak.
“Pada ketika ini, kita sedang mengadakan sesi libat urus dengan 30 wakil agensi pelancongan dari negara tersebut dan dua wakil syarikat penerbangan AirAsia bagi tujuan berkenaan.
“Mereka akan dibawa ke lokasi-lokasi pelancongan menarik yang terletak di seluruh negeri, antaranya di Ipoh, Bagan Datuk, Lumut, Kuala Kangsar, Lenggong dan Royal Belum,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurut beliau, data daripada Persatuan Agensi Pelancongan Thailand (TTAA) menunjukkan sekitar 1.5 juta pelancong dari negara itu yang mengunjungi Malaysia pada tahun lalu.
Justeru, katanya, pihaknya berhasrat untuk sekurang-kurangnya menarik kira-kira 10 peratus daripada jumlah berkenaan ke Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024.
“AirAsia pula akan meneliti laluan penerbangan bagi tujuan tersebut. Antara cadangan (laluan penerbangan) adalah Bangkok-Singapura-Ipoh dan Bangkok-Pulau Pinang-Ipoh.
“Para pelancong dari Thailand ini juga akan ke Perak menerusi laluan darat iaitu kereta api untuk ke Ipoh dari negara berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Nurmalis berkata, pihak kerajaan negeri juga sedang dalam fasa persediaan bagi menyambut Tahun Melawat Perak 2024 yang berbaki lima bulan sahaja lagi.
Justeru, katanya, proses libat urus yang sedang berlangsung ketika ini merupakan platform terbaik bagi mendapatkan maklumat berkaitan untuk menambah baik sektor pelancongan negeri. – KOSMO! ONLINE