KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit Boy Iman serta seorang pengurus syarikat sedang menyiapkan representasi bagi mengugurkan pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, April lalu.
Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman, 43, dan Nor Azmi Jantan, 49, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.
“Pihak kami baharu sahaja dilantik dan akan memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guam kami. Oleh itu, kami mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin.
Sementara itu, peguam Muhamad Izhar Azmi mewakili Norazah Sahud dan Norzana Rapie @ Rafie, masing-masing berusia 51 tahun, yang turut berdepan pertuduhan sama, berkata pihaknya telah mengemukakan representasi kepada pendakwaan pada 13 Julai lalu berkaitan pertuduhan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan kes.
Pada 25 April lalu, Boy Iman dan tiga yang lain termasuk dua wanita didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdaya mangsa dalam penjualan tapak perniagaan (booth) atau penyewaan tapak sempena festival Horay X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pukul 2.34 pagi (19 April) sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika ditemui media di luar mahkamah, Boy Iman berkata pihaknya akan ‘melawan’ untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
“Saya nak gugurkan (pertuduhan) sebab saya tidak bersalah, kalau saya salah lainlah. Saya ada hak, jadi saya lawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE