Saudara pengarang,
Saya ingin mengulas mengenai berita sebuah akhbar bertarikh 30 Jun 2023 yang bertajuk ‘Laluan LPT 2 terlalu lurus antara punca kemalangan.
Sebanyak 503 kemalangan berlaku dalam lima bulan sejak Januari lalu membabitkan 14 kes kematian dan tiga cedera parah.
Menurut pakar kejuruteraan lebuh raya, Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng, jalan terlalu lurus boleh mempengaruhi pengguna untuk memandu lebih laju.
Selain reka bentuk jalan, faktor manusia dan persekitaran turut menyumbang kepada nahas temaduk di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dianggap bahaya.
Saya bersetuju dengan pandangan pakar bahawa jalan terlalu lurus banyak disumbangkan oleh faktor manusia yang mahu menunjukkan kehebatan kenderaan masing-masing.
Seringkali, kelajuan tinggi dan impak kuat kemalangan boleh menyebabkan total lost dan meragut nyawa. Bagi mengatasinya, pihak lebuh raya disaran menurunkan kadar had laju terutama di lokasi yang berpotensi berlaku kemalangan kepada 90 atau 100km sejam.
Pengguna harus sedar pembinaan lebuh raya dengan reka bentuk lurus dan lebar adalah untuk keselesaan dan keselamatan pengguna.
Keadaan jalan lurus boleh menyebabkan pemandu bosan dan akhirnya boleh mengundang kepada terlelap seketika. Untuk elak rasa bosan memandu di jalan lurus, pemandu disaran mendengar radio dan berbual dengan penumpang.
Akhir kata, kemudahan seperti lebuh raya adalah untuk keselesaan dan teknik pemanduan berkait rapat dengan faktor reka bentuk jalan dan persekitaran. Jadi pemandu perlu berhati-hati, sayangkan nyawa dan bersikap bijaksana walau di mana jua memandu.
Pemandu Peka
Temerloh, Pahang