KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan lima pegawai termasuk seorang wanita di sebuah jabatan kerajaan ekoran disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM61,000.
Menurut sumber, kelima-lima suspek berusia antara 30an hingga 50an itu dipercayai ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12.30 tengahari ketika hadir di pejabat SPRM Sabah hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai mengemukakan penyata resit syarikat pengangkutan bagi tujuan pembayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan walaupun perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Kelima-lima suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE