MUKAH – Polis menahan seorang lelaki kerana memukul ibunya yang berusia 91 tahun sehingga mengalami kecederaan di muka.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata suspek berusia 60 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam, susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Selangau pada pukul 11 malam, 14 Julai lepas.
Katanya kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah panjang di Selangau.
“Tangkapan telah dibuat terhadap suspek dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Rizal menambah mangsa juga telah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau dan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Susulan itu, katanya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan satu video mengenai kejadian berdurasi 26 saat yang tular di Facebook, semalam yang memaparkan suspek memukul mangsa menggunakan tangan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan video mengenai kejadian kerana boleh mengganggu siasatan.
Selain itu, katanya orang ramai juga disaran agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.- KOSMO! ONLINE