PETALING JAYA – Seorang lelaki sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan secara sambilan untuk mencari duit lebih walaupun tidak dibenarkan oleh isteri.
Menurut sebuah hantaran tular di Facebook, lelaki tersebut sudah bekerja sebagai jaga selama empat bulan dan boleh menjana pendapatan sebanyak RM400 dalam masa lima hari.
“Kalau isteri bising, saya abaikan sahaja. Susu, lampin pakai buang, makanan anak dan keluarga bukannya dia (isteri) beli.
“Kalau dia (isteri) nampak kita tidak bekerja, dia marah. Kalau kita kerja lebih masa pun dia marah. Saya pun tidak faham apa yang isteri mahukan,” katanya.
Menurut pengguna tersebut, pekerjaan sebagai pengawal keselamatan lebih mudah berbanding kerja di restoran, stesen minyak, pusat beli-belah, panggung wayang dan sebagainya.
“Tetapi, bila kita tidak melayan ragam manusia, adalah benda ‘lain’ yang perlu diuruskan. Pukul 3 hingga 4 pagi memang keadaan seram dan sunyi. Kawasan pula berkabus apabila saya mulakan rondaan.
“Tetapi, apabila kerja begini, timbul rasa ingin tahu apabila terdengar bunyi pelik-pelik. Saya tidak menafikan, ada rasa teruja untuk pergi tengok dari mana bunyi tersebut datang,” katanya.
Menurut hantaran sama, lelaki tersebut turut menasihati orang ramai agar berusaha untuk mendapatkan wang lebih asalkan kerja yang dilakukan adalah halal.
“Apabila kita rasa tidak cukup duit, itu maksudnya kita perlu menggandakan usaha.
“Kalau jadi ‘security guard’ secara sambilan, waktu kerja adalah seminggu sekali dari pukul 7 malam hingga 7 pagi,” katanya.
Hantaran tersebut menerima sebanyak 492 tanda suka dan 84 komen. – KOSMO! ONLINE