MELAKA – Kes bunuh di negeri ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu dengan sebanyak 10 kes direkodkan melibatkan pelbagai motif termasuk disebabkan faktor tekanan ekonomi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, setakat ini indeks jenayah Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 7.5 peratus, namun beberapa kes mengalami peningkatan termasuk bunuh, rogol dan samun berkawan tanpa senjata api.
Jelasnya, sehingga hari ini sebanyak 10 kes bunuh direkodkan berbanding empat kes pada tahun lalu, manakala kes rogol 35 kes iaitu meningkat lima kes dan samun 45 kes dengan pertambahan 21 kes.
“Kita merekodkan 10 kes bunuh dalam tampoh tujuh bulan ini, sembilan berlaku di Melaka Tengah dan satu di Jasin.
“Siasatan kes-kes ini masih dilakukan, memang ada sebahagian kes berlaku disebabkan tekanan ekonomi seperti masalah pinjaman (wang) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan penyerahan tugas oleh pemangku, Asisten Komisioner Mohamed Mahat kepada Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi.
Tambahnya, kes rogol direkodkan meningkat di daerah Melaka Tengah dengan sebanyak 22 kes direkodkan, manakala Jasin mempunyai lima kes dan Alor Gajah lapan kes, menurun satu kes.
“Kes rogol ini ada beberapa kategori, sebahagian besar melibatkan pelajar atau remaja. Selain itu, ada beberapa kes (pelaku dan mangsa) mempunyai pertalian keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan dan pergerakan kontinjen bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri, beliau memberitahu kira-kira 900 pegawai dan anggota telah bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu negeri berhampiran.
“Kita diminta untuk menyalurkan bantuan sebanyak 30 peratus daripada kekuatan kontinjen, jadi kita akan gerakkan kira-kira 900 anggota ke sana.
“Selain itu kita juga menyusun keperluan untuk Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dan dalam masa sama memastikan penguatkuasaa serta usaha-usaha pencegahan jenayah dapat dilakukan secara optimum termasuk bagi unit rondaan,”katanya. – KOSMO! ONLINE