JOHOR BAHRU – Sebuah jejantas pejalan kaki bernilai antara RM10 juta dan RM15 juta akan dibangunkan bagi menghubungkan pusat beli-belah Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) dan kemudahan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Al-Salam REIT dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
Menurut beliau, jejantas sepanjang 42 meter dan berhawa dingin dijangka akan dibuka pada tahun 2027.
“Projek ini telah pun bermula pada tahun ini dan sekarang dalam peringkat pertengahan. Kita jangka siap pada Disember 2026 dengan harapan ia boleh disiapkan sebelum RTS siap.
“Jejantas berkenaan menawarkan laluan yang lancar, selamat dan mudah antara stesen dan pusat beli belah selain kawasan di sekitar Ibrahim International Business District (IIBD) termasuk juga Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI),” katanya pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, pihaknya berharap inisiatif itu akan beri impak kepada pejalan kaki, sekaligus mampu merancakkan semula potensi pendapatan Komtar JBCC dan premis di sekitarnya.
Sementara itu, Mohd. Redza pula memberitahu, kemudahan RTS Link dijangka akan meningkatkan jumlah pengunjung pusat beli belah berkenaan kepada sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE