MELAKA – Seorang kerani dan remaja lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulau Gadong di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Nurul Rahimah Abdul Samad, 32, dan Iman Nur Azrin Noriman, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, dua mangsa itu masing-masing menunggang motosikal Yamaha Y15 dan Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) ke Klebang.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dirempuh SUV Hyundai Tuscon dipandu lelaki berusia 36 tahun yang hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu SUV cedera ringan di muka,” katanya.
Difahamkan, laporan polis dibuat pemandu SUV yang mendakwa matanya mengalami silau sehingga menyebabkan kenderaan tersebut gagal dikawal.
Mengulas lanjut, Christopher memberitahu, siasatan pegawai penyiasat di lokasi kejadian mendapati nahas berlaku di jalan dua lorong, manakala cuaca pula baik dan kering.
“Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE