PETALING JAYA – Pernah didesak memberi laluan kepada penyampai radio lain dalam mana-mana pertandingan, DJ Lin menyifatkan situsasi sedemikian tidak mungkin terjadi memandangkan dirinya mempunyai tanggungjawab besar, menggalas kepercayaan ramai.
Pemilik nama lengkap Roslinda Abd. Majid merangkap Pengurus Besar Suria FM berkata, pencalonan dalam mana-mana anugerah, terutama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) adalah simbolik sebuah amanah dan pengharapan yang tidak harus dipersiakan.
Ada yang minta saya beri laluan, pada saya semua ini hadiah peminat dan mereka yang memilih dan menyokong saya.
“Tidak manis untuk saya hampakan, peminat tambahan pula saya bersaing secara sihat dan sama-sama memeriahkan industri penyiaran negara.
“Lagipun negara kita tidak ada banyak majlis anugerah jadi wajar untuk kita semua menyokong serta meraikan seluruh penggiat industri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pengelola rancangan popular Suria Cinta itu sekali lagi dipilih sebagai finalis bagi kategori penyampai radio ABP edisi ke-35 yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini.
DJ Lin yang dalam misi mempertahankan anugerah kategori penyampai radio popular untuk kali kelima tahun ini bersaing dengan Tyzo, Haiza, DJ Sonic dan Johan.
Pada masa sama dia menzahirkan penghargaan buat semua peminat yang berhabisan mengundi dirinya sehingga ke saat akhir lewat malam tadi.
Ulasnya lagi, restu dan doa arwah ibu selain sokongan pendengar Suria FM sejak lebih dua dekad berada dalam dunia penyiaran ntara faktor kejayaannya pada hari ini.
“Saya percaya restu emak serta keikhlasan dalam melakukan kerja akan sentiasa membuahkan hasil tanpa terlalu megharapkan balasan.
“Saya juga yakin keputusan berhijab turut membuka banyak lembaran baharu kepada pintu rezeki buat saya. Alhamdulillah,” katanya.
Penyampai berusia 47 tahun itu juga pernah meraih 13 anugerah termasuk dinobatkan sebagai penyampai radio terbaik dan dipercayai menerusi pengiktirafan tempatan dan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE