HAMPIR semua penyokong bola sepak Malaysia mahu menyaksikan kejayaan ‘anak tempatan’ dalam mencipta nama di pentas antarabangsa khususnya di Eropah jika mendapat peluang untuk berhijrah ke luar negara.
Sudah tentu ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana kesempatan untuk bermain bersama kelab luar boleh dikatakan hanya hadir sekali seumur hidup.
Ramai pemain tempatan sudah mencipta nama di luar sejak era 80-an antaranya Datuk Lim Teong Kim yang mewakili kelab Liga Jerman, Hertha Berlin.
Pemain-pemain lain yang pernah beraksi di pentas Eropah ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, RC Strasbourg (Perancis).
Perjalanan karier sama dilalui oleh Nazmi Faiz Mansor apabila mendapat peluang bersama kelab Beira-Mar (Portugal), Safawi Rasid (Portimonense/Portugal) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrjik/Belgium).
Namun, ia tidak bertahan lama atas beberapa faktor kecuali Luqman Hakim yang sudah lebih tiga tahun berada di Eropah dan kini dipinjamkan ke kelab Iceland, Njarovik FC.
Sukar mengetahui apakah punca pemain negara sukar menembusi skuad utama kelab Eropah memandangkan situasi sama turut dirasai pemain kelahiran Asia Tenggara lain.
Kini, banyak mata tertumpu kepada pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk berkelana ke luar negara kerana ramai beranggapan dia terlalu bagus dalam saingan Liga Malaysia.
Situasi ini disebabkan pemain berusia 21 tahun itu diiktiraf Pemain Paling Bernilai (MV) Liga M edisi 2021 dan 2022.
Prestasi Arif dilihat semakin memuncak selepas meledakkan lima gol dalam dua aksi antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya ketika bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea bulan lalu.
Pemerhati sukan yang juga bekas pengendali skuad muda Harimau Malaya, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, prestasi Arif kini seperti berada di kemuncak selepas mempamerkan sisi berbeza dalam corak permainannya.
Menurut Azraai, Arif boleh mencuba nasib untuk berkelana ke liga di Asia Timur seperti di Korea Selatan atau Jepun yang dilihat lebih sesuai untuk meningkatkan corak permainannya.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan dia kini berada di puncak prestasi. Sekiranya dia mendapat tawaran beraksi di kelab luar yang menjanjikan minit permainan, dia patut berhijrah untuk meningkatkan lagi kualiti yang ada.
“Jika dilihat secara realistik, liga di Korea Selatan atau Jepun lebih sesuai untuk Arif mencipta nama sebelum bercadang pergi lebih jauh seperti di Eropah.
“Saya lihat Arif memiliki sikap rendah diri dan tidak cepat berpuas hati. Harap dia kekalkan fokus dan tidak terbuai dengan kejayaan semasa atau perkara-perkara yang boleh menjejaskan karier pada masa akan datang,” katanya kepada Kosmo!.
Pandangan berbeza disuarakan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang pernah berkelana ke Liga Indonesia bersama Pelita Jaya sebelum ini yang percaya antara pilihan terbaik buat Arif adalah untuk kekal bersama kelab JDT.
“Kita lihat Arif masih muda dan baru berusia 21 tahun. Jauh lagi perjalanan karier beliau dan kalau kita angkat terlalu awal atau berhijrah dalam masa terdekat juga tidak sesuai.
“Kita bimbang mungkin prestasinya akan jatuh seperti yang pernah berlaku kepada beberapa pemain (yang berhijrah) sebelum ini. Jika kekal, mungkin dia dapat terus berkembang bersama JDT,” ujarnya.