KOTA BHARU – Lebih 80 peratus daripada 200,000 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memilih untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas tamat tempoh perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bidang keusahawanan yang diceburi antaranya pertanian, perkhidmatan dan perlancongan.
Menurutnya, sebahagian besar veteran ATM lebih cenderung untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.
“Selain itu, kebanyakan daripada mereka juga ada yang lebih selesa bergantung kepada pencen bulanan dan tidak memerlukan kerjaya kedua.
“Sehubungan itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) juga membimbing dan memantau kerjaya kedua veteran ATM sehingga tempoh lima tahun selepas tamat tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan di bengkel Pejo Motor Sport, Melor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly memberitahu, bimbingan dan pemantauan dilakukan dalam tempoh tersebut bagi memastikan mereka berjaya dalam bidang keusahawan yang diceburi.
Menurutnya, Perhebat juga menyediakan latihan dalam memilih bidang keusahawanan selain menyediakan bantuan yang berkaitan bagi memastikan kerjaya kedua itu dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada golongan veteran ATM. – KOSMO! ONLINE