KUALA TERENGGANU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan tindakan segelintir pihak menularkan kediaman banglonya di Kijal, Kemaman sebagai terdesak.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga percaya ia bertujuan menutup isu seorang pemimpin kanan Pas yang turut dikaitkan dengan banglo mewah di Kedah.
“Ini fitnah jahat yang dilemparkan, saya tidak pernah terlibat dalam rasuah, apatah lagi untuk membina rumah itu.
“Saya tidak bimbang kerana tiada apa-apa yang disembunyikan. Siasatlah saya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran gambar kediaman banglonya di media sosial berapa hari lalu.
Ahmad berkata, kediaman tersebut dibina di atas tanah peninggalan arwah bapanya dan mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal itu menambah, kediaman tersebut disiapkan secara berperingkat mengikut bajetnya dengan kebanyakan bahan binaannya diberi dengan harga murah di negara jiran.
“Pernah satu ketika, emak saya meninggal dunia, Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) datang ziarah dalam keadaan rumah saya belum siap,” katanya. – KOSMO! ONLINE.