fbpx

Saintis cipta vaksin kanser payudara, hapus barah dalam 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jennifer Davis (kanan) menjalani ujian awal vaksin kanser payu dara di Klinik Cleveland, Ohio. - Foto Klinik Cleveland

WASHINGTON – Ujian vaksin kanser payu dara terhadap sejumlah wanita mendapati pe­nyakit yang merupakan antara pembunuh terbesar manusia itu boleh dihapuskan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Setakat ini, 15 wanita menghidap kanser payudara agresif te­lah menerima suntikan vaksin itu, manakala kanser mereka hilang selama lima tahun walaupun terdapat risiko mereka menghidapnya semula.

Antara pesakit yang mene­rima suntikan vaksin tersebut ialah ibu kepada dua anak, Jennifer Davis. Dia yang merupakan jururawat berusia 46 tahun dari Lisbon, Ohio, telah menjalani berpuluh-puluh pusingan ‘kejam’ kemoterapi, radioterapi dan mastektomi sebelum didaftarkan dalam ujian tersebut.

Jennifer memberitahu Mail­On­line bahawa dia kini berasa lebih sihat dari segi fizikal dan mental berbanding keadaannya sebelum ini.

“Saya berharap (vaksin ini) dapat digunakan untuk semua orang. Saya mempunyai dua anak perempuan, saya juga mempunyai seorang ibu.

“Saya mahu semua orang yang saya kenali mendapatkannya. Sa­ya mahu semua orang boleh mendapatkannya. Jika ini boleh menghalang kanser payudara, ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Vaksin baharu itu berfungsi dengan melatih tubuh untuk menyerang protein kanser.

Setakat ini, ia hanya diuji pada kanser jenis ‘triple-negative’ yang boleh dirawat sekiranya dikesan lebih awal.

Masalahnya ialah kanser payu­dara merebak dengan cepat dan senyap ke bahagian badan lain yang menyaksikan sekitar 12 peratus pesakit boleh hidup me­lebihi jangka masa lima tahun.

Bagaimanapun, suntikan vaksin itu tidak lama lagi akan diberikan kepada individu-individu sihat untuk menghalang mereka daripada mendapat sebarang bentuk kanser payudara sekali gus vaksin pertama seum­pamanya.

“Kita mungkin dapat menghapuskan kanser payu dara sebagai penyakit, sama seperti kita telah menghapuskan polio dan cacar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Anixa Biosciences, Dr Amit Kumar.

Anixa Biosciences merupakan syarikat yang menghasilkan vaksin tersebut.

“Kami percaya dalam tempoh lima tahun lagi, vaksin ini akan berada di pasaran untuk merawat orang se­perti Jennifer yang menghidap kanser payu dara dan bimbang penyakit itu akan berulang.

“Beberapa tahun selepas itu, ia sepatutnya sedia untuk digunakan oleh semua wanita termasuk mereka yang tidak pernah menghidap kanser payu dara,” tambahnya.

Suntikan baharu itu sedang diuji oleh pasukan penyelidik di Klinik Cleveland, Ohio dan mereka optimis tentang hasilnya.

Secara statistik, sebanyak 40 peratus wanita yang terlibat dalam eksperimen itu akan mendapati mereka kembali menghidap semula kanser payu dara dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku setakat ini.

Pengerusi Keradangan dan Imuniti Klinik Cleveland, Dr Thaddeus Stappenbeck berkata, data ujian percubaan vaksin itu adalah sangat menggalakkan.

Menurutnya, garis masa tujuh tahun untuk merawat semua bentuk kanser payu dara adalah satu kemungkinan sambil menambah: “Jika semuanya berjalan lancar dan terdapat isyarat jelas keberkesanan dalam jangka pendek, vaksin ini akan menjadi sesuatu yang menakjubkan.”

Suntikan vaksin itu adalah hasil kemajuan lebih 20 tahun oleh mendiang Dr. Vincent Tuohy yang merupakan saintis kanser payu dara terkemuka di Institut Penyelidikan Klinik Cleveland.

Vaksin itu yang melibatkan tiga dos dan diberikan selang dua minggu, menyasarkan protein laktalbumin yang tidak lagi ditemui dalam ibu selepas tempoh penyusuan berakhir.

Bagaimanapun, protein sama banyak terdapat dalam kebanyakan pesakit kanser payu dara ‘triple-negative’.

Kaser payudara itu menjangkiti 13 dalam setiap 100,000 wanita di Amerika Syarikat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI