fbpx

Professional Mutawwif Development, MM Mubarok bakal lahir mutawwif antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd Halim (kanan) bersama Iqbal Iskandar menunjukkan dokumen perjanjian selepas majlis pemeteraian kerjasama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA –  Professional Mutawwif Development Sdn. Bhd. (PMD) bakal menerima pelajar luar negara pertamanya menjelang akhir tahun ini dalam usaha melahirkan mutawwif antarabangsa bertaraf profesional.

Pengarah Urusannya, Abd Halim Ikhsan berkata, ia melibatkan kehadiran lebih 100 pelajar dari Indonesia termasuk 20 dari Singapura pada pengambilan semester baharu yang bermula pada Disember depan.

Beliau berkata, pelajar tersebut akan mengikuti pengajian di Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) milik PMD yang mana ia merupakan  sebuah kolej yang menawarkan program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah Dan Ziarah.

“Ketika ini, PMD agresif mengeluarkan ramai graduan mutawwif yang bertauliah bagi memudahkan syarikat pelancongan memilih mutawwif profesional sebagai ikon atau sebahagian daripada kakitangan syarikat-syarikat mereka.

“Dengan pengambilan pelajar dari luar negara, kami berharap ia bukan sahaja menjadi titik tolak kepada pemantapan industri umrah dan pelancongan di negara ini bahkan ia turut memperkasakan lagi bidang pendidikan Malaysia terutama dalam program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi pelancongan dari Indoensia, MM Mubarok untuk menjadi gerbang masuk dengan pelajar dari negara jiran di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Utama, MM Mubarok, Iqbal Iskandar Muda.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berharap dengan kerjasama dengan syarikat dari luar negara buat pertama kali sejak penubuhan pada 2019 itu dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami berharap ikatan jalinan seumpama ini dapat dijadikan contoh bagi kedua-dua negara dalam memperkasakan professionaliti mutawwif dunia.

“Oleh itu, segala sokongan dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat amat dialu-alukan agar kerjasama ini terus kekal erat dan teguh serta berterusan,” katanya.

Abdul Halim menambah, PMD telah menarik minat universiti-universiti awam dan juga swasta untuk berkerjasama antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) melibatkan cawangan Samarahan, Lendu, Mukah, Permatang Pauh dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Katanya turut menjalinkan kerjasama  adalah Universiti Tun Hussein Onn, Kolej Sidma Kuching dan Universiti College Yayasan Pahang (UCYP).

“PMDIC kini memiliki kira-kira 1,000 pelajar dari semua cawangan sedia ada di seluruh negara.

“Dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, PMDIC juga akan mula beroperasi di Universiti Malaysia Sabah dan juga Universiti Malaya,” katanya.

Sementara itu, semua modul PMDIC telah mendapat pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di mana yuran pengajian dikendalikan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Ketika ini, seramai 140 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan hampir 100 peratus dijaminkan pekerjaan. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI