YAN – UMNO akan menyokong sesiapa saja yang dipilih menjadi Menteri Besar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, siapa yang akan menjadi Menteri Besar adalah soal yang lain, namun apa yang penting adalah keserasian antara kedua-dua gabungan tersebut.
“Insya-Allah, siapa pun jadi Menteri Besar sama ada BN atau PH, kami akan sokong. Siapa Anwar pilih, itu kami sokong.
“Ini soal lain tetapi yang penting adalah kebersamaan. Apa yang wujud sekarang adalah keserasian dalam kalangan kita,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan negeri Kedah di Guar Chempedak, dekat sini malam ini.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, hari pengundian pada 12 Ogos depan adalah peluang untuk rakyat Kedah mengundi bagi menyelesaikan masalah di Kedah.
“Kalau masalah di Kedah mahu diselesaikan seperti air, kecurian nadir bumi dan isu kemajuan serta pembangunan, maka inilah yang kita aturkan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tak mahu pak lawak memerintah negeri ini, kita tak mahu badut politik jadi pemimpin,” katanya.
Mengulas mengenai tangkapan dilakukan terhadap mereka yang dipercayai terlibat dengan kecurian REE, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua pihak yakin dengan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara dalam menegakkan undang-undang.
“Rakyat mahu tengok yang benar itu benar dan yang batil itu batil supaya rakyat tahu bahawa Kedah dipimpin oleh individu yang menipu rakyat,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan parti lawan agar berhenti melakukan fitnah, mengeji dan memaki hamun walaupun mereka berjaya memperolehi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dengan cara itu.
“Mereka katakan kemenangan itu kerana Allah takdirkan walaupun ‘sedekah’ diberikan. Tetapi kalau kami beri sikit-sikit untuk jentera, dia kata ini rasuah,” katanya sinis. – KOSMO! ONLINE