KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 27 Julai ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, senarai calon berkenaan sudah selesai diagihkan berdasarkan keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membabitkan 39 kerusi Pas dan enam kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, bagaimanapun, lokasi bagi pengumuman calon berkenaan masih belum diputuskan.
“Enam kerusi Bersatu itu membabitkan kerusi di Kok Lanas di Parlimen Ketereh, Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh dan Nenggiri (Parlimen Gua Musang) selain Ayer Lanas (Parlimen Jeli).
“Satu lagi kerusi belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga yang juga di Parlimen Jeli,” katanya pada majlis Sidang Akhbar Khas PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Roslan yang juga Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Kelantan berkata, PRN kali ini akan menampilkan 50 peratus muka baharu yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Katanya, bagi calon wanita, pihaknya akan mengekalkan dengan jumlah yang sedia ada atau mungkin lebih. – KOSMO! ONLINE